mutakhir

SAR nelayan Thailand diteruskan

Oleh Zuliaty Zulkiffli

OPERASI mencari dan menyelamat nelayan Thailand yang dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika menangkap ikan Ahad lalu, diteruskan hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, operasi mencari mangsa disambung semula pada 7 pagi.

Beliau berkata, operasi hari ini membabitkan bot daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebuah kapal daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), sebuah bot daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), satu dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sebuah bot Pasukan Polis Marin serta beberapa bot nelayan tempatan.

“Operasi bermula awal pagi tadi yang membabitkan semua agensi yang terbabit dan diberi taklimat di jeti nelayan Sungai Udang, di Yan.

“Pencarian dibahagikan kepada enam sektor berdasarkan semua yang terbabit dan kawasan pencarian membabitkan keluasan 345 batu nautika dari lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi SAR bagi mengesan nelayan warga negara Thailand dipercayai hilang selepas terjatuh ke laut pada 21 April pada jarak 22.3 batu nautika barat laut Pulau Songsong.

Orang awam diminta melaporkan sebarang penglihatan mangsa atau objek di sekitar kawasan berkenaan di talian 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 10:43am
d