mutakhir

Lelaki bogel bikin 'suspen'

Oleh Erika George

TINDAKAN lelaki berbogel sebelum terjun ke Sungai Kemena, di Bintulu mencetuskan gempar dalam kalangan penduduk Taman Sri Dagang yang terletak berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi semalam itu, lelaki terbabit yang dipercayai kurang siuman sebelum itu kelihatan berjalan kaki sambil berbogel sebelum tiba-tiba terjun ke sungai berkenaan.

Difahamkan, kebanyakan penduduk panik melihat ‘lagak berani’ lelaki itu kerana sungai berkenaan dikenalpasti antara yang memiliki buaya paling banyak di Sarawak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, bertindak atas maklumat awam, sembilan anggotanya dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, anggota bertugas mendapati pemuda berkenaan cuba menyelam ke dasar sungai yang sememangnya dihuni ‘Sang Bedal’.

“Kita kemudian cuba memujuknya berenang ke tebing sungai dan keluar dari lokasi kejadian, namun gagal. Melihatkan keadaan itu, beberapa anggota terjun ke sungai untuk menyelamatkannya menggunakan tali dan jaket keselamatan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki itu tidak bertindak agresif, sebaliknya mengikut sahaja arahan anggota bomba yang cuba membawanya ke tebing sungai sebelum pemuda berkenaan berjaya dikeluarkan pada 11.12 pagi.

“Mujurlah tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang operasi itu dijalankan. Pemuda berkenaan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 11:25am
d