mutakhir

Bekas banduan tak serik pecah rumah

Oleh Nur Izzati Mohamad

WALAUPUN lebih setahun keluar penjara, seorang lelaki masih tidak serik apabila ditahan ketika sedang memecah masuk sebuah rumah di Taman Seri Pinang, Sungai Puyu, Butterworth, kelmarin.

Kejadian disedari penghuninya pada 3.50 petang apabila melihat ada tangga di belakang rumahnya membuatkan dia curiga dan menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan mendapati seorang lelaki berada di bahagian dapur sedang mengambil beberapa barang untuk dilarikan.

“Menyedari kehadiran polis, suspek cuba melarikan diri, namun dia berjaya ditahan.

“Berdasarkan siasatan, suspek berusia 41 tahun itu aktif melakukan semula kegiatannya selepas dia dibebaskan dari penjara pada akhir 2017,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU di Kepala Batas, hari ini.

Noorzainy berkata, suspek bergerak secara sendirian dan memanjat kawasan belakang rumah menggunakan tangga sebelum mengumpil tingkap atau pintu untuk masuk.

Beliau berkata, saiz badan suspek yang kecil memudahkannya untuk masuk hanya melalui tingkap diumpil.

“Suspek pernah menyamar sebagai pekerja membaiki penghawa dingin untuk melakukan kegiatan jenayahnya.

“Hasil penahanan suspek itu, polis berjaya menyelesaikan lebih tujuh kes pecah rumah dalam daerah ini dan Seberang Perai Tengah.

“Polis merampas pelbagai barangan dipercayai hasil kegiatan pecah rumah antaranya televisyen, beg, telefon bimbit, jam tangan berjenama, barangan kemas dan alat permainan video dianggarkan bernilai lebih RM30,000,” katanya.

Beliau berkata, peralatan untuk memecah rumah seperti pemotong besi, gergaji, spanar boleh laras serta alatan untuk pemeriksaan penghawa dingin turut dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, ujian saringan air kencing dijalankan mendapati suspek positif dadah dan dia direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 3:43pm
d