mutakhir

Pasangan Diraja ziarah pesakit kanser

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

TENGKU Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra mencemar duli menziarah pesakit kronik yang menghidap kanser otak berusia 17 tahun di Kampung Bechah Temalang, Wakaf Bharu, Tumpat, hari ini.

Baginda bersama isteri, Cik Sofie Louise Johansson melawat Hakim Danial Razali, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu.

Lawatan berkenaan adalah yang pertama bagi pasangan Diraja itu selepas melangsungkan perkahwinan Jumaat lalu.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Kunjungan baginda disambut ibu Hakim, Zainab Awang, 65.

Terdahulu, Zainab bersyukur kerana nasib anaknya mendapat simpati ramai dan tidak menyangka apabila Tengku Mahkota Kelantan serta isteri mencemar duli melawat mereka.

Katanya, anak bongsu daripada 12 beradik itu menghidap kanser otak sejak tiga tahun lalu dan perlu menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 30 kali yang bermula Mei ini.

“Alhamdulillah, ramai prihatin terhadap nasib Hakim dan berdoa supaya anak saya sembuh seperti biasa. Anak saya perlukan hampir RM50,000 untuk rawatannya,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 4:51pm
d