mutakhir

'Janji nak bagi, tapi bawa lari semula...'

Oleh Farah Suhaidah Othman

SIASATAN polis mendapati dakwaan seorang bayi perempuan berusia lima hari diculik wanita warga Indonesia yang tular di media sosial adalah tidak benar, sebaliknya kes itu membabitkan penipuan wang berjumlah RM3,000.

Berdasarkan kenyataan tular itu, bayi berkenaan didakwa diculik wanita terbabit yang bekerja sebagai pembantu rumah di sebuah rumah di Ipoh dan dipercayai melarikan diri ke Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata laporan polis diterima pihaknya didapati berbeza dengan kenyataan tular itu, dipercayai sudah diubahsuai sebelum disebarkan ke aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima, pengadu iaitu seorang wanita berusia 39 tahun didatangi wanita warga Indonesia yang sarat mengandung lapan bulan di sebuah rumah di Taman Ipoh Permai, Ipoh pada pertengahan bulan lalu.

Katanya, wanita warga Indonesia itu meminta bantuan pengadu untuk mencari penjaga bayinya selepas lahir dan wanita tempatan itu menyuarakan kesanggupannya memelihara bayi itu dan menanggung kos perubatan serta perbelanjaan pulang wanita itu ke negara asal.

“Wanita Indonesia itu melahirkan bayi perempuan di hospital swasta di Ipoh pada 12.45 tengah hari 18 April lalu dan dibenarkan keluar dari wad keesokan harinya dengan pengadu membayar semua kos rawatan berjumlah RM2,560 sebelum membawa dua beranak itu pulang ke rumah.

“Pada Ahad lalu, pengadu bersama keluarga keluar rumah pada 9.30 malam dan apabila pulang semula ke rumah tiga jam kemudian, dia mendapati wanita berkenaan bersama bayinya tiada dalam bilik rumah berkenaan.

“Susulan kejadian itu, pengadu membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan bayi berkenaan yang mengalami demam kuning dan mahu mendapatkan semula bayi berkenaan kerana ibu bayi terbabit sudah berjanji mahu menyerahkan bayi terbabit selepas kos rawatan ditanggung sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata, pengadu sepatutnya membawa wanita berkenaan bersama bayinya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam bagi membuat pendaftaran kelahiran selain mendapatkan bantuan kebajikan terhadap dua beranak itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengadu mengakui gambar tular adalah gambar wanita terbabit manakala gambar lelaki bersama bayi berkenaan adalah teman lelaki wanita terbabit.

“Susulan kejadian itu, kes diklasifikasikan sebagai ‘Rujuk Kepada Mahkamah’ dan polis menasihatkan pengadu membuat tuntutan sivil terhadap wanita warga Indonesia berkenaan kerana mungkir janji,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 6:41pm
d