mutakhir

Gadai barang kemas, 'dapat' kereta

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“INI hadiah paling besar pernah saya dapat,” kata M Mohanan, 60, salah seorang 10 pemenang Kempen Promosi Hadiah Bonanza Ar-Rahnu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) 2018.

Lebih menarik, Mohanan adalah satu-satunya individu bukan Islam yang terpilih memenangi cabutan bertuah itu iaitu Perodua MyVi.

Kempen bonanza Ar Rahnu YaPEIM menawarkan 10 Perodua MyVi.

Mohanan berkata, dia memilih untuk menggadai barang kemasnya di Ar Rahnu YaPEIM kerana upah yang rendah serta pembiayaan tinggi.

“Saya tak mahu pinjam duit dengan orang kerana bunga (kadar faedah) yang dikenakan tinggi sehingga 10 peratus.

“Saya menggunakan duit hasil gadaian emas sebagai modal perniagaan,” katanya dari Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak.

Majlis penyampaian hadiah bonanza disempurnakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau difahamkan, cabutan hadiah bonanza itu disertai lebih 7,600 pelanggan setia Ar Rahnu YaPEIM di semua 203 cawangan di seluruh negara.

Menurutnya, selain medan mempromosikan Ar Rahnu, kempen itu juga sebagai tanda penghargaan YaPEIM kepada pelanggan setianya sejak mula menawarkan perkhidmatan itu 18 tahun lalu.

“Saya berharap kempen ini akan diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah YaPEIM Datuk Abibullah Samsudin berkata, kempen promosi hadiah bonanza itu akan diteruskan sebagai acara tahunan berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Kami menyasarkan penyertaan lebih 14,000 untuk tahun ini iaitu dua kali ganda daripada penyertaan diterima pada edisi pertama tahun lalu.

“Sejumlah RM500,000 diperuntukkan bagi melaksanakan program Cabutan Hadiah Bonanza Ar-Rahnu selain tambahan RM500,000 lagi untuk Kempen Cagar Emas dan Menangi Cabutan Bulanan.

“Bagi Cabutan Bonanza tahun ini, kita bercadang memberi hadiah barangan kemas bernilai RM50,000 kepada setiap 10 pemenang dengan kos keseluruhan RM500,000,” katanya.

Katanya, pihaknya juga akan meneruskan kempen hadiah bulanan di 203 cawangan statik seluruh negara dan setiap cawangan akan diberi satu wafer emas seberat satu gram secara bulanan selama setahun membabitkan peruntukan RM500,000.

Abibullah berkata, penganjuran program itu turut menarik pelanggan bukan Islam menggunakan perkhidmatan pajak gadai patuh syariah yang dikendalikan sepenuhnya Koperasi YaPIEM Berhad.

Menurutnya, lebih RM147 juta nilai marhum emas terkumpul sepanjang tempoh kempen Cabutan Hadiah Bonanza Ar-Rahnu 2018 yang berlangsung dari Januari hingga Disember tahun lalu.

“Ia membabitkan pengeluaran RM100.5 juta pinjaman dan menjana pendapatan RM8.4 juta kepada YaPEIM,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 7:04pm
d