mutakhir

Penganggur terlepas hukuman gantung miliki dadah

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG pemuda menarik nafas lega apabila terlepas hukuman gantung selepas pertuduhan ke atasnya dipinda di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki dadah jenis heroin seberat 35.50 gram.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan selepas tertuduh, Muhamad Adam Amri, 22, dari Kuala Nerus mengaku salah terhadap pertuduhan pindaan yang ditawarkan pihak Timbalan Pendakwa Raya.

Keputusan itu dibuat Abdul Wahab selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang hanya bersekolah sehingga tingkatan tiga didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 35.50 gram di sebuah rumah di Kampung Seberang Bukit Tumbuh, Kuala Nerus pada 15 Mei 2018.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan dengan hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkapan.

Sebelum ini, tertuduh berdepan pertuduhan mengedar mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 7:25pm
d