mutakhir

36 peratus kematian warga ATM berkaitan NCD

Oleh BERNAMA

TIGA puluh enam peratus kematian warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2017 adalah berkaitan penyakit tidak berjangkit (Non Communicable Disease - NCD), kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan.

NCD adalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.

Beliau berkata, walaupun peratusan itu agak rendah tetapi ATM tetap mengambil tindakan dengan memberi penekanan dalam pemerkasaan warga ATM daripada aspek penjagaan kesihatan dengan mengenali faktor risiko penyakit serta pengawalannya.

“Penyakit NCD ini bukan saja memberi kesan kepada kesihatan individu tetapi juga daripada aspek sosioekonomi sesuatu organisasi termasuk ATM.

“Tahap kesiapsiagaan ATM juga dipengaruhi tahap kesihatan warganya, anggota yang mempunyai masalah kesihatan akan memberi kesan kepada produktiviti seterusnya tahap kesiagaan ATM,” katanya hari ini.

Dr Md Amin berkata, warga ATM akan diperkasakan dengan aktiviti kesihatan yang memberi fokus terhadap faktor risiko NCD iaitu antaranya mengamalkan pemakanan sihat, bebas asap rokok, kesihatan mental serta saringan penyakit NCD.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 7:59pm
d