mutakhir

KASIH MALAYSIA lancar Sinar Kasih

Oleh Faliq Lajim

PERTUBUHAN Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH MALAYSIA) melancarkan program Sinar Kasih bagi memberi akses pendidikan kepada semua pelajar berkeperluan khas di negara ini.

Program ‘home coaching’ itu antaranya mensasarkan pelajar sekolah menengah yang menghidap penyakit kronik dan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua KASIH MALAYSIA, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkata, program itu antara satu usaha projek murni dilaksanakan pihaknya.

“Kebiasaannya, kita hanya memfokuskan kanak-kanak sihat dan pelajar miskin yang memerlukan bantuan namun kadang kala kita terlupa dan terlepas pandang mereka yang sakit kronik.

“Mereka juga minat dan berhak untuk ke sekolah serta mendapat pendidikan. Mereka juga ada cita-cita dan bakat seperti rakan lain.

“Oleh itu, program ini memberi mereka peluang dan kita akan bantu sekurang-kurangnya sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program itu di Dewan Management & Science University (MSU) Shah Alam hari ini.

Turut hadir Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid; Timbalan Yang Dipertua KASIH MALAYSIA Datin Seri Shamsidar Taharin dan Pengarah Program Sinar Kasih Datin Norlin Shamsul Bahri.

Program itu hasil kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan MSU yang turut berperanan membantu pelajar antaranya melalui khidmat nasihat dan kaunseling.

Projek Rintis Sinar Kasih menyaksikan pelajar terpilih akan mengikut modul pembelajaran yang disediakan MSU membabitkan lima subjek iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

Ia membabitkan pelajar Tingkatan Empat yang terpilih dan mereka akan dibimbing sehingga menduduki SPM dengan diketuai guru sukarela yang bertindak sebagai penyelaras program.

Dalam pada itu, Norlin berkata, pihaknya mahu memfokuskan perhatian kepada pelajar memerlukan perhatian terutama yang terlepas pandang.

“Bagi fasa pertama, kami mensasarkan dua pelajar bagi setiap 46 kawasan parlimen dengan permulaan di kawasan Menteri dan Timbalannya.

“Ia kemudian diperluaskan kepada semua parlimen lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, pihaknya menyokong program berkenaan berikutan ia mempunyai aspirasi untuk memberikan akses pendidikan kepada semua.

“Konsep pendidikan kepada semua ini penting terutama di Malaysia.

“Dalam konteks ini, kepakaran yang ada di MSU boleh diguna pakai untuk membantu program Sinar Kasih ini sehingga berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 8:21pm
d