mutakhir

Cari ibu kandung anak angkat

Oleh Mohd Hilmie Hussin

SEORANG wanita dipercayai warga Indonesia diminta tampil untuk membantu urusan pendaftaran anaknya yang diserahkan kepada satu keluarga tempatan di Kajang, Selangor pada 16 Mac lalu.

Difahamkan, wanita terbabit Asmawati Zulkanani, menyerahkan bayi perempuan berusia 18 hari itu kepada Noorzana Yusuf, 39, di hadapan Hospital Kajang, selepas tidak mampu membayar caj hospital.

Noorzana berkata, wanita terbabit memberitahu tidak mampu menanggung kos perubatan anaknya yang dijangkiti kuman ketika itu, malah tidak mampu menyaranya dan berhasrat menyerahkan bayi itu sebagai anak angkat kepada Noorzana.

“Namun, saya minta dia membuat laporan polis mengenai penyerahan anak ini, malah saya membuat laporan polis pada 17 Mac lalu yang menyatakan saya ambil bayi ini untuk dijaga.

“Bagaimanapun, saya sepatutnya bertemu dengan Asmawati pada 18 Mac untuk menyelesaikan urusan pengambilan anak angkat, tapi dia tidak datang ke lokasi pertemuan di Hospital Kajang (Selangor).

“Malah, dia tidak menjawab apabila dihubungi menerusi telefon,” kata Noorzana yang menetap di Tangkak, namun datang ke pejabat NSTP Melaka untuk membuat hebahan mencari ibu kandung anak jagaannya.

Justeru, Noorzana berkata, dia membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak, Ledang, Johor pada 18 Mac mengenai kegagalan menemukan Asmawati.

Menurutnya, sepupunya yang tinggal di Selangor ada mencari Asmawati di alamat tempat tinggal diberikannya di Semenyih, namun gagal menemukan Asmawati, malah semua barang miliknya sudah dipindah keluar dari rumah terbabit.

Katanya, urusan pendaftaran sijil kelahiran anak angkatnya sudah diselesaikan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tangkak, pada 25 Mac lalu.

“Berikutan gagal bertemu dengan Asmawati, saya menamakan anak angkat ini sebagai Amira Ayra Abdul Fattah.

“Saya sudah berumah tangga dan mempunyai empat anak menerusi perkahwinan dengan suami, Rosli Bakar, 50,” katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2019 @ 9:49pm
d