mutakhir

Kasihku untuk ayah

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

WALAUPUN baru berusia 15 tahun, tanggungjawab Nurallesyah Balqis Mohd Azman sebagai anak sulung melebihi segalanya kerana sanggup mengorbankan masa dan persekolahan demi membantu ibu menjaga bapanya yang hilang upaya.

Anak sulung daripada tujuh beradik berusia antara setahun dan 15 tahun itu sanggup menangguhkan sementara persekolahannya selepas kaki kiri bapanya, Mohd Azman Tabri, 41, dipotong sehingga paha pada bulan lalu.

Menurut Nurallesyah Balqis, selepas bapanya hilang upaya, mereka sekeluarga dihimpit kesusahan sehingga menyebabkan dia pernah terfikir untuk berhenti sekolah bagi meringankan beban keluarga.

“Saya ambil keputusan tidak hadir ke sekolah buat sementara waktu untuk membantu ibu (Noorsuidah Omar, 40, menguruskan ayah yang masih belum sembuh sepenuhnya, tetapi akan kembali bersekolah semula nanti.

“Saya rindu nak pergi sekolah tetapi tanggungjawab sebagai anak sulung melebihi segalanya kerana perlu menjaga ayah dan tiga adik di rumah terutama ketika ibu mempunyai urusan di luar.

“Tak sampai hati biarkan ayah sendirian di rumah dengan keadaannya begitu,” katanya ketika ditemui di rumah sewa mereka di Rizab Kayu Api Parit 6A, Sungai Manik di sini, semalam.

Menurutnya, dia tetap mengulang kaji pelajaran di rumah setiap malam sebagai persediaan untuk menduduki Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini sebelum kembali bersekolah pada Jun nanti.

Mohd Azman pula berkata, semuanya bermula sejak awal tahun ini apabila kaki kirinya mula membengkak dan berdenyut sakit sehingga menyebabkan dia tidak boleh berjalan seminggu selepas itu.

Menurutnya, walaupun kakinya sakit ketika itu dia tetap bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Padang Tembak di sini, demi menyara keluarga.

“Saya ke hospital dan diberikan ubat untuk mengurangkan bengkak dan tahan sakit tetapi hanya surut sekejap saja sebelum jadi semula, malah turut menggelembung.

“Hasil pemeriksaan mendapati ia kerana jangkitan kuman dan kaki kiri terpaksa dipotong pada bulan lalu bagi mengelakkan jangkitan semakin merebak,” katanya yang turut memaklumkan otaknya turut dijangkiti kuman, sekali gus menjejaskan keseimbangan badannya.

Menurutnya, selepas pembedahan itu, dia koma selama 15 hari dan lehernya juga ditebuk, malah buah pinggang dan hatinya turut terjejas.

Katanya, mereka sekeluarga kini hilang punca pendapatan dan mengharapkan ihsan keluarga serta jiran untuk kelangsungan hidup malah terpaksa menebalkan muka meminta melanjutkan bayaran sewa rumah sebanyak RM150 sebulan daripada pemilik rumah.

“Isteri juga sudah tidak bekerja sejak saya masuk hospital dan kami susah hati mengenangkan belanja dan sewa rumah, persekolahan anak, rawatan susulan dan keperluan harian seperti lampin pakai buang sekurang-kurangnya 10 helai sehari kerana saya kerap kencing kesan ubat,” katanya.

Mohd Azman mendakwa masih belum menerima bantuan kewangan setakat ini namun memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memberi bantuan kerusi roda, alat pernafasan dan tilam.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi isterinya, Noorsuidah ditalian 014-2602387 atau menyumbangkan terus ke akaun Maybank, 158060678151 milik Mohd Azman.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 7:00am
d