mutakhir

Mengemis untuk beli dadah rupanya...

Oleh Nor Farhani Che Ad

DEMI mendapatkan bekalan dadah, lelaki yang berasal dari Baling sanggup mengemis di sekitar Sungai Petani sejak lima bulan yang lalu.

Lelaki berusia 29 tahun itu memberi alasan tidak mampu bekerja kerana mengalami keretakan pada tulang tapak kaki kirinya selepas terjatuh ketika membuat kerja mengecat bangunan.

“Saya tiada pilihan lain selain meminta sedekah daripada orang ramai kerana saya tidak mampu bekerja disebabkan kaki saya sakit.

“Dalam sehari saya dapat kira-kira RM45, RM30 daripadanya saya beli dadah selebihnya saya buat beli makanan untuk diri sendiri,” katanya yang sudah bergelumang dengan dadah sejak lima tahun yang lalu.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Muda, Nor Harina Ayob berkata, lelaki terbabit antara 24 pengemis yang diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Pengemis dan Orang Papa yang dijalankan di sekitar bandar itu, semalam.

Beliau berkata, operasi yang bermula 6 petang sehingga 8 malam itu turut disertai Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Pejabat Agama Daerah Kuala Muda, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), Polis, Jabatan Psikiatrik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Operasi membabitkan 23 kawasan sekitar Sungai Petani seperti pasar malam Tikam Batu, pasar malam Taman Ria Jaya, Tabung Haji Sungai Petani, Bank Islam Lagenda Height dan beberapa lokasi lain.

“Dalam operasi berkenaan, seramai 13 warga negara termasuk seorang kanak-kanak dan lima orang kurang upaya (OKU) diselamatkan manakala 11 lagi adalah pengemis bukan warga negara iaitu dari Thailand dan Kemboja,” katanya.

Nor Harina berkata, pihaknya turut membuat rampasan ke atas wang kutipan yang dilakukan dengan keseluruhan berjumlah RM1,411.40 selain barangan yang digunakan oleh pengemis terbabit untuk menjalankan kegiatan itu.

Katanya, sepanjang operasi diadakan, pihaknya turut menjalankan Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu dengan mengedarkan risalah kepada orang ramai bertujuan bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang peranan mereka dalam membantu menangani isu pengemis palsu.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 9:05am
d