mutakhir

Kenapa Doraemon pulak?

Oleh Redzuan Muharam

PERSATUAN Animasi Malaysia (ANIMAS) yakin banyak lagi watak animasi tempatan boleh digunakan Balai Seni Negara untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020) selain siri kartun popular Jepun, Doraemon.

Presiden ANIMAS, Ameir Hamzah Hashim berkata, kerajaan sepatutnya mengetengahkan watak animasi tempatan sebagai tarikan untuk mempromosi kempen berkenaan.

Menurut Ameir, langkah itu lebih baik dan menunjukkan kerajaan menghargai serta meraikan karyawan animasi tempatan berbanding Doraemon yang bukan berasal dari negara ini.

“Malaysia tidak kurang hebatnya dengan watak animasi sedia ada.

“Antaranya Lat The Kampung Boy, Upin Ipin, BoBoiBoy, Usop Sontorian, Keluang Man dan sebagainya yang pernah dan masih digemari penonton,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) juga dalam satu kenyataan, menafikan pameran lukisan bertemakan kartun animasi terkenal Jepun itu sebagai sebahagian bahan tarikan dan promosi pelancongan sempena TMM 2020.

Menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, kenyataan Rashidi hanya bersifat peribadi dan bukan dipersetujui MOTAC bagi tujuan promosi TMM 2020.

Terdahulu, dalam satu majlis pada 11 Mac lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Pengerusi Balai Seni Negara, Datuk Rashidi Hasbullah dilaporkan bercadang mengadakan pameran lukisan bertemakan Doraemon sempena TMM 2020.

Bagaimanapun, laporan mengenai perkara itu tular sejak semalam hingga mengundang reaksi dan komen pelbagai pihak.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 11:10am
d