mutakhir

Denda RM2,700 poligami, kahwin tanpa kebenaran

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG kakitangan kerajaan didenda RM2,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah Marang atas dua pertuduhan berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

Tertuduh berusia 47 tahun turut berdepan hukuman penjara tujuh bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan itu dibuat Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof selepas lelaki terbabit mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 126 dan Seksyen 37 (2) yang dibaca bersama Seksyen 19 (1) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh lelaki yang sudah beristeri berusia 45 tahun didakwa berpoligami apabila berkahwin dengan pasangannya di sebuah masjid di Thailand pada 10 September tahun lalu tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie atau pendaftar.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 126 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 kerana poligami tanpa kebenaran mahkamah, tertuduh dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Selain itu, tertuduh dan pasangannya berusia 34 tahun turut didakwa berkahwin di alamat dan tarikh sama tanpa mendapat kebenaran pendaftar dan berlaku di luar mukim wanita itu bermastautin iaitu di Marang.

Bagi kesalahan itu, mereka dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan kerana berkahwin tanpa kebenaran.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 12:55pm
d