mutakhir

JAIS pantau kedai 'ponteng puasa'

Oleh Iskandar Shah Mohamed

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) akan menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang Ramadan bermula bulan depan.

Pelaksanaan oleh Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan dan Bahagian Pengurusan Halal jabatan itu merangkumi premis makanan yang menjual makanan kepada umat Islam secara terbuka pada waktu siang.

Selain itu, ia membabitkan pemeriksaan ke atas pihak yang mempromosikan hidangan berbuka puasa tanpa memiliki pensijilan halal diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata, pihaknya komited untuk menjalankan pemantauan berterusan itu bagi memastikan kesucian Ramadan terpelihara.

“Ia merangkumi penjualan makanan kepada mereka yang tidak berpuasa terutama di kawasan terbuka.

“Adalah menjadi satu kesalahan apabila individu beragama Islam didapati menjual makanan kepada mana-mana umat Islam.

“Individu itu boleh didakwa mengikut Seksyen 19 Enakmen 9 Tahun 1995 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana tidak menghormati Ramadan. Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut mahu memastikan tiada individu atau premis mengambil kesempatan dalam mempromosikan hidangan berbuka puasa ‘Buffet Ramadan’ tanpa sijil halal.

“JAIS memandang serius penyalahgunaan ungkapan atau penandaan halal yang boleh mengelirukan umat Islam.

“Ia satu kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM250,000 dan RM500,000 (kesalahan berikutnya), jika sabit kesalahan,” katanya.

Kata Haris, pihaknya menasihatkan peniaga dan pengusaha industri makanan segera mengemukakan permohonan pensijilan halal bagi membolehkan promosi dilakukan dengan peraturan yang ditetapkan.

Beliau turut meminta orang ramai menghubungi JAIS di talian 03-5514 3760/3486 bagi melaporkan sebarang keraguan terhadap sijil halal berkenaan.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 1:25pm
d