mutakhir

Bukan 'kerja' polis

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menafikan pembabitan pegawai Cawangan Khas Bukit Aman dalam kes kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan pastor, Raymond Koh Keng Joo.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati individu terbabit adalah pegawai awam yang bertugas di Cawangan Khas PDRM.

“Kita sudah menyiasat dan mendapati individu terbabit sebagaimana dimaksudkan dalam kes kehilangan dua aktivis sosial itu bukanlah pegawai polis.

“Sebaliknya, individu itu adalah pegawai awam yang ditempatkan di Cawangan Khas Bukit Aman dan sudah berhenti daripada perkhidmatannya,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya sama ada polis akan memohon waran tangkap terhadap individu terbabit kerana gagal hadir memberi kerjasama, beliau berkata ia terserah kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

“Buat masa ini segala urusan berkaitan kes itu sudah diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan tiada arahan untuk polis berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi mengesahkan tiada rakyat Malaysia disyaki terbabit insiden serangan bom di gereja dan beberapa hotel di Sri Lanka, Ahad lalu yang meragut lebih 200 nyawa.

“Sebelum ini, memang ada dakwaan serangan di Sri Lanka didalangi individu dari Malaysia namun hasil siasatan awal dijalankan mendapati ia tidak benar.

“Jadi, terlalu awal bagi polis untuk mengesahkan serangan itu didalangi rakyat negara ini,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, beliau juga sudah mengarahkan semua Ketua Polis Negeri meningkatkan kawalan keselamatan di negeri masing-masing susulan serangan bom itu.

“Langkah meningkatkan kawalan keselamatan itu diambil berikutan wujud kebimbangan serangan balas dilakukan pihak tertentu,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 2:28pm
d