mutakhir

Amukan penduduk Simunjan

Oleh Garret Dawum

BERANG tindakan pihak pengurusan ladang memutuskan jalan ke kebun mereka, penduduk dari tiga kampung di Simunjan membakar pondok pengawal dan motosikal serta merosakkan peralatan ladang dalam kejadian di Ladang Sungai Tersak, semalam.

Kejadian 10.30 pagi itu berlaku apabila penduduk dari Kampung Sungai Lingkau, Kampung Melanjok dan Kampung Sekendu ‘menyerbu’ pintu utama ladang itu dalam usaha membantah tindakan pihak berkenaan.

Bagaimanapun, usaha penduduk bertemu pihak ladang gagal apabila mereka enggan berbincang selepas diminta menyambung semula jalan yang digunakan ke kebun itu.

Keadaan bertambah tegang apabila penduduk mula marah dan bertindak membakar pondok pengawal serta sebuah motosikal selain merosakkan peralatan ladang.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan Asisten Superintendan Abdul Razak Musa ketika dihubungi, hari ini, mengesahkan kejadian.

“Keadaan sekarang sudah tenang dan kedua-dua pihak sudah membuat laporan. Siasatan awal mendapati berlaku rusuhan apabila penduduk dipercayai marah dengan pihak ladang yang enggan berbincang selepas diminta menembok jalan yang menjadi laluan ke kebun mereka.

“Namun, siasatan lanjut masih dijalankan dan orang ramai diminta tidak membuat spekulasi berhubung kejadian yang boleh mengganggu siasatan polis,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau benda letupan.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 3:09pm
d