mutakhir

Sedia lori tangki di lokasi kecemasan

Oleh Siraj Mohd Zaini

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) turut memberi tumpuan kepada hospital, klinik dan pusat dialisis dengan menggerakkan lori tangki air ke lokasi terbabit berikutan gangguan bekalan ketika ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, sejumlah jentera digerakkan sejak awal pagi hari ini bagi memastikan bekalan air tidak terputus.

“Kerja penghantaran sudah dijalankan selepas bekalan air diputuskan bagi kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).

“Ketika ini, kerja penambahbaikan sedang berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Beliau berkata, lori tangki setakat ini belum digerakkan dalam jumlah banyak.

Menurutnya, pihaknya menjangka penghantaran air akan berlaku lebih banyak pada Jumaat ini kerana stok simpanan air pengguna akan berkurangan.

Namun, katanya, pihaknya sentiasa dalam keadaan bersiap sedia sekiranya mendapat permintaan daripada orang awam.

“Kami memperuntukkan 99 lori tangki termasuk 17 lori tangki jumbo sepanjang tempoh gangguan bekalan air bermula hari ini hingga Sabtu.

“Selain lori tangki, kami membuka 10 Pusat Khidmat Setempat (PKS) pada 8 pagi Jumaat ini yang menyediakan bekalan air kepada penduduk.

“Air Selangor turut menempatkan 106 tangki statik di premis kritikal serta lokasi strategik selain penyediaan sembilan lokasi pili air awam dan menyediakan stesen pengisian air khusus bagi pembelian air untuk pelanggan industri,” katanya.

Sepanjang tempoh 86 jam dijadualkan bagi kerja penambahbaikan itu, gangguan bekalan air berlaku di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Susulan itu, sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan akan terkesan.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 5:17pm
d