mutakhir

Alhamdulillah, kerja pembaikan 70 peratus siap [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) optimis kerja pembaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasinya, Abdul Raof Ahmad berkata, sehingga kini kerja pembaikan sudah 70 peratus siap selepas kakitangan dan kontraktor memulakan kerja sejak 9 pagi hari ini.

Beliau berkata, sistem bekalan air dijangka pulih mengikut jadual, sekali gus membolehkan bekalan air dapat disalurkan semula ke lokasi terjejas.

“Air Selangor kini giat memastikan kerja pembaikan dilaksanakan secepat mungkin dan air disalurkan semula kepada kawasan terjejas dalam tempoh terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Air Selangor sudah menggerakkan lori tangki ke kawasan kritikal seperti hospital dan pusat dialisis susulan gangguan bekalan.

Menurutnya, lori tangki sudah digerakkan sejak pagi untuk memastikan bekalan air di lokasi berkenaan tidak terganggu, sekali gus melancarkan operasi harian.

“Setakat ini lori tangki hanya digerakkan kerana keperluan mendesak di lokasi berkenaan namun sekiranya terdapat permintaan di lokasi lain bantuan air tambahan tetap akan digerakkan.

“Air Selangor mempunyai 82 lori tangki biasa dan 17 lori tangki bersaiz besar untuk digerakkan sepanjang tempoh gangguan yang dijangka selesai pada Sabtu ini.

“Kawasan lain yang terjejas akan menerima bekalan air tambahan pada Jumaat ini dengan semua lori tangki digerakkan,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 5:32pm
d