mutakhir

Siapa punya kerja ni? Kejam betul..

Oleh Ahmad Ismail

TINDAKAN pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat berjaya menyelamatkan tiga anak kucing daripada lemas ketika ditemui dalam bungkusan plastik di tepi jalan di Persimpangan Pemanis, Segamat, hari ini.

Ketua APM Segamat, Kapten (PA) Mohd Nazlan Ruslan berkata anak kucing itu diselamatkan sukarelawannya, Koperal Normawati Abdullah, 39, yang kebetulan dalam perjalanan ke pejabat di Jalan Omar, kira-kira jam 2.30 petang.

“Ketika dalam perjalanan ke pejabat untuk melaporkan diri dan bertugas, anggota terlihat satu bungkusan beg plastik cerah bergerak-gerak di persimpangan laluan FELDA Pemanis.

“Anggota kemudian memberhentikan kenderaan dan memeriksa bungkusan berkenaan,” katanya ketika ditemui di Pejabat APM Segamat.

Katanya, anggota ini terkejut apabila mendapati bungkusan plastik mengandungi tiga anak kucing dalam keadaan nyawa-nyawa ikan akibat lemas dan kehausan.

“Melihat keadaan anak kucing kehausan, anggota memberikan air kepada anak kucing berkenaan.

“Anak kucing ini dipercayai dibuang pihak tidak bertanggungjawab dan perbuatan itu jelas menganiaya haiwan berkenaan,” katanya.

Katanya, banyak lagi cara lain boleh dilakukan termasuk memberi kepada kenalan untuk dipelihara.

Mohd Nazlan berkata, lokasi beg plastik yang mengandungi kucing itu juga dibuang berhampiran laluan utama Lebuhraya Segamat ke Kuantan yang sibuk dengan kenderaan.

“Anggaran anak kucing ini dipercayai baru berusia lebih sebulan dan menyedihkan apabila mereka memisahkan anak kucing ini dengan ibunya.

“Sudah pasti anak kucing ini masih menyusu daripada ibunya,” katanya.

Katanya, semua anak kucing ini berada dalam keadaan sihat dan pemantauan rapi dilakukan sementara menunggu tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 5:58pm
d