mutakhir

Didik remaja jauhi dadah

Oleh Hasbi Sidek

GOLONGAN remaja dalam fasa ‘usia panas’ yang terdedah risiko terjebak penyalahgunaan dadah mendapat perhatian pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan (NGO).

Justeru, Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia (PJNM) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjalankan inisiatif menerusi Papan Informasi Kesedaran Anti Dadah yang akan dipamerkan di kawasan sekolah menengah di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, papan informasi itu dimuatkan dengan visual bertemakan keinsafan dan kesedaran selain disertakan bersama jenis dadah, kesan serta akibat penyalahgunaan dalam kalangan pelajar.

“Kita harap dengan adanya papan informasi ini, pelajar akan dapat pendidikan awal sekali gus memberi impak positif apabila melihat mesej dipaparkan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Papan Informasi Kesedaran Anti Dadah di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam majlis itu, sebanyak 30 papan informasi diserahkan kepada IPK Kuala Lumpur dengan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima lima papan untuk diletakkan di sekolah di bawah pentadbiran masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi PJNM Datuk Zulkifly Ibrahim berkata, usia dari 13 hingga 17 tahun adalah tempoh ‘panas’ atau usia berani mencuba bagi remaja yang mana golongan terbabit mudah terpengaruh dengan pelbagai masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah.

“Konsepnya bercirikan pendidikan dan pencegahan awal yang mudah difahami golongan sasar.

“Trend remaja sekarang yang gemar mengambil dadah sintetik untuk tujuan berhibur amat membimbangkan. Diharap dengan adanya papan informasi ini memberi peringatan kepada mereka untuk menjauhi dadah,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 6:03pm
d