mutakhir

Jangan naikkan harga air mineral ya...

Oleh Mohamad Hussin

PENIAGA kedai runcit dan pasar raya diingatkan supaya tidak menaikkan harga air mineral berikutan gangguan bekalan air di sekitar Lembah Klang mulai hari ini sehingga Sabtu ini.

Ia berdasarkan pemeriksaan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan mendapati banyak premis perniagaan kekurangan stok minuman.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan, Azeem Nazuri berkata, pihaknya memandang serius dan mengambil berat dalam membanteras isu berkaitan kenaikan harga barangan.

Beliau berkata, pihaknya memeriksa 67 premis perniagaan membabitkan pasar raya, kedai runcit, kedai serbaneka dan pasar mini bagi mengekang peniaga memanipulasi harga bagi mengaut keuntungan berlebihan.

“Air minuman dan air mineral adalah barang bukan kawalan serta bukan barang harga terkawal.

“Bagaimanapun, KPDNHEP akan membantu dan bekerjasama dengan pihak pasar raya serta peniaga dengan memastikan bekalan air minuman itu sentiasa ada di pasaran.

“Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan berikutan gangguan bekalan air ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai pemeriksaan bekalan dan harga air minuman serta air mineral di pasar raya di Setapak, Kuala Lumpur, hari ini.

Azeem berkata, peniaga terbabit dikehendaki meletakkan tanda harga seperti diperuntukkan dalam undang-undang.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menasihatkan pengguna supaya tidak membuat pembelian panik bagi air mineral.

“Sepanjang pemeriksaan mendapati semua premis perniagaan meletakkan tanda harga dan tidak menjual harga minuman terlampau tinggi.

“Peniaga yang mencatut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Jika disabitkan kesalahan, pihak pertubuhan/ perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM1,000,000.

“Manakala jika pihak terbabit bukan pertubuhan/perbadanan, individu itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 6:48pm
d