mutakhir

Pilu lihat anak tanggung derita

Oleh Syaherah Mustafa

“RINDU nak belajar bersama rakan, tetapi saya jarang hadir ke sekolah kerana cepat letih dan mudah sakit kepala,” luah Ahmad Saifullah Zamani, 11, yang menghidap kanser mata tahap empat sejak berusia enam tahun.

Ibunya, Samsiah Abdul Ghani, 47, hanya mampu memberi kata semangat dan nasihat buat anak bongsu daripada empat beradik itu supaya tidak menyalahkan takdir dan tabah menghadapi dugaan.

Samsiah berkata, anaknya yang lebih mesra dipanggil Saiful dihantar ke Sekolah Pendidikan Khas Kelantan di Lati di Pasir Mas, selepas dinasihatkan guru kerana penglihatan anaknya yang sudah kabur.

“Saiful rajin belajar, malah bercita-cita menjadi doktor, namun dia jarang dapat ke sekolah kerana cepat letih, selain mengalami pening kepala yang teruk akibat penyakit ini.

“Kadang-kadang Saiful mengadu kepada saya yang dia berasa rendah diri apabila ada segelintir rakan yang nakal mengejek matanya yang bengkak tidak seperti orang lain.

“Setiap kali keluar dari rumah Saiful akan memakai topi dan menutup matanya dengan kain untuk berasa lebih yakin.

“Dia pernah memberitahu saya itu sahaja cara untuk mengelak orang memandang pelik padanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Repek di Pasir Mas.

Ahmad Saifullah turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan.

Samsiah berkata, kanser mata itu mula dikesan selepas mata kiri anaknya membengkak apabila secara tidak sengaja ditumbuk oleh saudaranya ketika bergurau.

“Saya pada mulanya ingatkan ia hanya bengkak biasa, namun selepas dua minggu saya bawa Saiful ke hospital dan terpaksa dirujuk ke pakar Hospital Kuala Lumpur ketika dia berusia enam tahun.

“Kami berkampung di HKL selama sebulan kerana Saiful perlu membuat pembedahan ketika itu.

“Kemudian, dia terpaksa menjalani kemoterapi sebanyak 12 kali selama empat tahun di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Luluh hati saya melihat keadaannya yang kurus, tiada rambut, dan tidak bermaya ketika itu kerana kesan daripada kemoterapi.

“Sebenarnya Saiful sudah sihat seperti biasa untuk beberapa tahun, namun sakitnya menyerang lagi sejak awal tahun ini dan keadaan matanya sama seperti dulu,” katanya yang terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu di sebuah restoran untuk menjaga anaknya itu.

Menurutnya, anaknya kini terpaksa mendapatkan kembali rawatan di HUSM berikutan sel kansernya yang kembali merebak.

Disiarkan pada: April 24, 2019 @ 10:56pm
d