mutakhir

'Saya rindu nak belajar'

Oleh Syaherah Mustafa

“SAYA rindu nak belajar bersama rakan, tetapi saya jarang hadir ke sekolah kerana cepat letih dan mudah sakit kepala.”

Itu luahan Ahmad Saifullah Zamani, 11, yang menghidap kanser mata tahap empat sejak berusia enam tahun.

Namun, ibunya, Samsiah Abdul Ghani, 47, berkata, dia hanya mampu memberi kata semangat dan nasihat kepada anak bongsu daripada empat beradik itu supaya tidak menyalahkan takdir dan tabah menghadapi dugaan terbabit.

Katanya, anaknya yang lebih mesra dipanggil Saiful dihantar ke Sekolah Pendidikan Khas Kelantan di Lati selepas dinasihatkan guru kerana penglihatan anaknya sudah kabur.

“Saiful seorang yang rajin belajar, malah bercita-cita menjadi doktor, namun dia jarang dapat ke sekolah kerana cepat letih selain mengalami pening kepala yang teruk akibat penyakit ini.

“Kadang-kadang Saiful mengadu dia rasa rendah diri apabila ada segelintir rakan yang nakal mengejek matanya bengkak tidak seperti orang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Repek.

Selain itu, Samsiah berkata, setiap kali keluar dari rumah Saiful akan memakai topi dan menutup matanya dengan kain untuk lebih yakin.

“Dia pernah memberitahu saya itu sahaja cara untuk mengelak orang memandang pelik padanya,” katanya.

Ahmad Saifullah turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 sebulan.

Samsiah berkata, penyakit kanser anaknya mula dikesan selepas mata kiri Saiful membengkak selepas ditumbuk oleh saudaranya secara tidak sengaja ketika bergurau.

“Saya pada mulanya ingatkan ia hanya bengkak biasa, namun selepas dua minggu saya bawa Saiful ke hospital dan terpaksa dirujuk ke pakar Hospital Kuala Lumpur ketika dia berusia enam tahun selepas disahkan menghidap kanser.

“Kami berkampung di HKL selama sebulan kerana Saiful perlu membuat pembedahan ketika itu.

“Kemudian, dia terpaksa menjalani kemoterapi sebanyak 12 kali selama empat tahun di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian,” katanya.

Menurutnya, sebagai ibu hatinya luluh apabila melihat keadaan anaknya yang kurus, tiada rambut dan tidak bermaya kerana kesan daripada kemoterapi.

“Sebenarnya Saiful sudah sihat untuk beberapa tahun namun sakitnya menyerang lagi sejak awal tahun ini dan keadaan matanya sama seperti dulu,” katanya yang terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu di sebuah restoran untuk menjaga anaknya.

Menurutnya, anaknya kini terpaksa mendapatkan rawatan di HUSM semula berikutan sel kansernya kembali merebak.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 5:00am
d