mutakhir

Remaja lelaki dikhuatiri lemas

Oleh Shahrinnahar Latib

REMAJA lelaki dikhuatiri lemas apabila dihanyutkan arus deras ketika mandi bersama tujuh rakannya di Sungai Triang, dekat Kompleks Agropolitan Chemomoi, Bentong, semalam.

Dalam kejadian 6.30 petang mangsa, Sofian Sahar, 14, yang tinggal di Agropolitan Chemomoi dipercayai dihanyutkan arus deras ketika cuba berenang menyeberang sungai.

Difahamkan, tujuh rakannya juga berenang bersama dan turut dibawa arus, namun berjaya diselamatkan orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak Penolong Penguasa Bomba Suhairul Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam mengenai kejadian dan sepasukan pegawai dan anggota dari BBP Karak dikejarkan ke lokasi.

“Tujuh pegawai dan anggota bersama dua jentera serta sebuah bot penyelamat ditugas melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sepanjang sungai itu petang semalam.

“Kita turut mendapat bantuan daripada pasukan bomba sukarela (PBS) Pelangai, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam operasi itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR dihentikan pada 8 malam dan disambung 8.30 pagi hari ini.

“Kita sudah meminta bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin, Temerloh, untuk operasi SAR hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 11:12am
d