mutakhir

Sedia kongsi pengalaman [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

PENERIMA Anugerah Nobel Keamanan, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nasarudin Mohd Yusof sedia berkongsi pengalaman dengan generasi muda mengenai kejayaannya mengharumkan nama negara.

Pesara tentera berusia 57 tahun itu berkata, dia yakin menerusi perkongsian itu dapat memberikan motivasi, dorongan dan semangat kepada golongan muda untuk mencapai kejayaan.

Pakar munisi dan senjata kimia itu berkata, bertugas dalam bidang keselamatan tidak mudah kerana ia bukan saja membabitkan kepentingan atau nyawa orang ramai, malah negara di dunia.

“Saya menyertai Pertubuhan Bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) yang berpangkalan di The Hague, Belanda, pada akhir 2009 selepas berjaya dalam temu duga.

“Tugas dan tanggungjawab bersama OPCW mencabar kerana ia mempunyai misi besar memastikan negara anggota mematuhi Konvensyen Senjata Kimia iaitu melarang penggunaan senjata kimia dan melakukan kebinasaan.

“Namun, pengalaman berkhidmat dengan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) banyak membantu,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tamu program Borak Tokoh sempena Karnival Hari Buku Sedunia 2019 peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, semalam.

Kira-kira 150 mahasiswa USIM menyertai program itu dan berinteraksi dengan tokoh terbabit.

Mohd Nasarudin adalah rakyat Malaysia pertama menerima anugerah itu yang diterimanya pada 2013.

Namun, beliau menerima bukan atas kapasiti individu tetapi OPCW yang menjalankan usaha dalam menghapuskan senjata kimia serta penggunaannya di seluruh dunia.

Pencapaian Mohd Nasarudin ketika itu turut mendapat perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila anda bekerja di luar negara, anda sebenarnya membawa bendera negara. Ia tidak akan merugikan sebagai rakyat Malaysia. Peluang yang baik jangan sia-siakan kerana pengalaman amat berharga dalam hidup,” katanya.

Mohd Nasarudin menasihatkan mahasiswa supaya fokus dan berusaha gigih untuk mencapai kejayaan.

“Semua orang boleh capai impian jika berusaha gigih. Paling penting membaca buku perlu dijadikan amalan bagi menambah ilmu.

“Jangan sesekali takut untuk menuntut ilmu dan pengalaman bekerja di negara asing kerana ia akan dapat membantu kita lebih menghargai Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 1:26pm
d