mutakhir

Untukmu cikgu...

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

IBU bapa membuat kejutan apabila membasuh kereta dan motosikal cikgu sempena sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelor, Pasir Puteh, hari ini.

Kehadiran 15 ibu bapa pada 8 pagi dengan masing-masing membawa baldi, cecair pembersih dan kain pengelap untuk memberi kejutan sebagai menghargai jasa guru di sekolah berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Jelor Hisyam Daud berkata, kejutan itu dirancang jawatankuasa tanpa pengetahuan guru sekolah.

“Kami adalah ibu bapa murid tahun enam hadir pada hari ini bagi menghargai jasa guru yang mendidik anak-anak kami dari tahun satu hingga sekarang.

“Kami sempat mencuci semua 46 kereta cikgu dan empat motosikal. Kerja mencuci kenderaan dimulakan ketika semua guru bersama 268 murid berkumpul di medan perhimpunan bagi menyambut Hari Guru,” katanya.

Sementara itu, guru besar Zurina Ripin berkata, ini adalah kali pertama kehadiran ibu bapa secara berkumpulan untuk bersama mengadakan aktiviti bagi sambutan Hari Guru peringkat sekolah.

“Kami hanya sedar apabila mereka selesai membasuh kenderaan dengan menggunakan peralatan yang dibawa sendiri.

“Saya hargai kesungguhan ibu bapa ini dan akan terus bekerjasama bagi memastikan anak didik kami berjaya,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 2:23pm
d