mutakhir

Pendidikan larangan merokok di tempat makan dilanjut Disember ini

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

TEMPOH aktiviti penguatkuasaan pendidikan bagi pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok akan dilanjutkan sehingga akhir Disember ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia bagi memberikan peluang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

“Kementerian Pendidikan berpendapat impak kepada penguatkuasaan pendidikan dijalankan memberi kesan sangat positif.

“Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan juga maklum terdapat perokok masih merokok di tempat makan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok dan perokok yang belum mahu berhenti merokok,” katanya dalam kenyataan di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mengingatkan perokok tempoh enam bulan bagi penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di kedai makan dan restoran akan berakhir Julai ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dilaporkan berkata, selepas tempoh itu kementerian akan meningkatkan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan saman kepada perokok yang masih berdegil.

Pada masa sama, Dzulkefly berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada 10 kementerian lain dan satu wakil badan bukan kerajaan dipengerusikannya pada 16 April lalu, bersetuju dengan cadangan lanjutan tempoh aktiviti penguatkuasaan pendidikan.

Katanya, jawatankuasa itu juga memutuskan peruntukan tambahan dipohon kepada Jemaah Menteri supaya kumpulan perokok dibantu untuk berhenti merokok melalui perkhidmatan berhenti merokok mQuit.

“Penangguhan ini dibuat bagi meningkatkan usaha kerajaan untuk membantu perokok berhenti merokok kerana memahami kesukaran perokok menghentikan tabiat ini.

“Kementerian Kesihatan berharap sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dalam memastikan kepatuhan kepada kawasan larangan merokok sebagaimana terdapat di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pewartaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11, PPKHT 2004 yang bermula pada 1 Januari lalu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

“Melalui tinjauan, rata-rata masyarakat di Malaysia mematuhi larangan ini secara baik dan ia memberikan impak positif dengan semakin ramai warga negara ini dapat menikmati udara bersih dan persekitaran tempat makan yang lebih selesa.

“Ini menunjukkan komitmen rakyat Malaysia mematuhi peraturan ini bagi memastikan kesihatan dan keselesaan semua orang ketika menikmati makanan di tempat awam,” katanya.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, kenyataan itu dibuktikan melalui kajian dijalankan oleh Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia yang mana kebanyakan masyarakat sudah mula tidak merokok di kawasan diwartakan.

“Kajian dijalankan 1 hingga 17 April lalu membabitkan 173 tempat makan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya yang tersenarai sebagai tempat makan tidak mematuhi larangan ini pada peringkat permulaan pelaksanaan peraturan ini.

“Kajian ini dilaksanakan untuk melihat kepatuhan masyarakat terhadap larangan merokok melalui kaedah pemerhatian secara terus di 173 tempat makan yang disenaraikan.

“Antara pemerhatian dibuat adalah paparan tanda larangan merokok yang jelas dan kehadiran tempat abu rokok di dalam tempat makan.

“Pemerhatian juga dibuat berkaitan kehadiran pelanggan yang merokok di dalam kawasan diwartakan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, secara purata 170 tempat makan tidak menyediakan tempat abu rokok di dalam kawasan diwartakan dan 131 tempat makan ini mempunyai tanda larangan yang jelas.

“Sebanyak 104 tempat makan adalah 100 peratus bebas daripada sebarang aktiviti merokok manakala 69 tempat makan lagi hanya mempunyai tidak lebih daripada tiga orang merokok,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 6:24pm
d