mutakhir

Mayat wanita berbalut dalam semak

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

MAYAT dipercayai wanita ditemui berbalut dengan kain berhampiran sebuah kedai makan di Kawasan Perusahaan Ringan Jalan Tun Dr Ismail, Seremban, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, kejadian disedari seorang peniaga wanita berusia 60 tahun sebaik tiba di premisnya pada 10 pagi.

Katanya, wanita itu mendapati kawasan semak berdekatan premisnya terdapat kesan korek dan timbus semula yang ditutupi pelepah kelapa serta papan.

“Wanita itu kemudian menghubungi polis dan bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota ke lokasi dan menggali kesan timbus berkenaan.

“Anggota polis menemui mayat disyaki wanita ditanam dalam keadaan berbalut dengan kain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Rosli berkata, mayat itu dihantar ke Hospital Tuaku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti identiti dan motif kejadian dan buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 6:45pm
d