mutakhir

Agong melawat Sarawak

Oleh Mohd Roji Kawi

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat melawat Lebuh India, pusat perniagaan tertua di bandar raya ini, sempena lawatan rasmi pertama baginda ke negeri ini, hari ini.

Baginda bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di pusat perniagaan berusia 170 tahun itu pada 4.30 petang.

Mengiringi keberangkatan baginda ialah Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

Sejurus tiba di Lebuh India, Sultan Abdullah singgah di Restoran Jubilee, salah sebuah kedai makan tertua antara deretan kedai di pusat perniagaan itu.

Baginda bersama Tunku Azizah meluangkan masa kira-kira 30 minit menikmati minum petang di restoran berkenaan.

Pemilik restoran, Abdul Wahab Daud, 73, berkata beliau terkejut apabila sebaik tiba baginda duduk dan terus bertanyakan minuman kepadanya.

“Mengikut jadual disediakan pihak protokol, saya dimaklumkan baginda hanya melawat di luar restoran dan tidak berhenti makan.

“Tetapi sebaik sahaja tiba di restoran, baginda bertanya kepada saya, ada teh tarik tak? Saya seperti tidak percaya dan meminta pekerja menyediakannya,” katanya yang kemudian menghidangkan samosa yang baru siap dimasak serta roti canai kuah kari kambing kepada Sultan Abdullah.

Abdul Wahab kemudiannya sekali lagi dikejutkan apabila Sultan Abdullah tiba-tiba bangun dan mahu melihat bahagian dapur restoran berusia 68 tahun itu.

“Saya sedikit cemas apabila baginda terus ke dapur dan berjumpa tukang masak,” katanya yang teruja dengan keramahan Sultan Abdullah.

Selain Restoran Jubilee, Sultan Abdullah turut singgah di kedai Fabriko, Kedai Salih Ahmad dan Handicraft.

Baginda berdua dijadualkan berangkat balik ke Kuala Lumpur, esok selepas mengadakan lawatan dua hari ke negeri ini.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 7:22pm
d