mutakhir

2 remaja dikhuatiri lemas

Oleh Ibrahim Isa

DUA remaja lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Kampung Sari, Simpang Renggam, petang hari ini.

Difahamkan, tiga kanak-kanak lelaki mandi di sungai itu ketika kejadian, seorang daripadanya berjaya diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 6.16 petang memaklumkan tiga kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas di situ akibat arus deras sungai.

Katanya, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, satu jentera membabitkan lima anggota dan seorang pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika kami melakukan pencarian terbuka (Open Searching) anggota kami berjaya menyelamatkan seorang daripada mangsa berusia belasan tahun hanya beberapa meter dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

“Kami melancarkan Ops Mencari dan Menyelamat (SAR) bagi mencari dua lagi mangsa berusia 13 dan 16 tahun yang masih hilang.

“Buat masa ini, kami masih belum mengenal pasti identiti mangsa dan rakan mereka yang diselamatkan itu dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 8:00pm
d