mutakhir

Buka KFC di Bandar Universiti Pagoh

Oleh Badrul Kamal Zakaria

SIME Darby Property Berhad akan mengadakan kerjasama dengan QSR Brands (M) Holdings Berhad untuk membangunkan restoran KFC pandu lalu pertama di Bandar Universiti Pagoh di Muar yang bakal beroperasi Jun 2020.

Ia sekali gus membantu kedua-dua pihak meningkatkan tawaran nilai perbandaran dan pada masa sama memenuhi populasi pelajar yang semakin ramai.

Ketua Pegawai Operasi (Pembangunan Perbandaran) Sime Darby Property Berhad, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, kerjasama itu akan meningkatkan keupayaan Bandar Universiti Pagoh dari segi penyedia perkhidmatan yang pelbagai dan seterusnya memberi kesejahteraan kepada warga universiti dan penduduk di perbandaran itu.

“Ia juga membuka peluang kepada kami untuk meningkatkan keuntungan korporat melalui pendapatan berulang yang disasarkan sehingga 10 peratus menjelang tahun kewangan 2023.

“Kami memilih QSR Brands atas kekuatan jenama syarikat dan kredibiliti sebagai penyedia barisan produk berkualiti dan terkenal dalam kalangan pengguna.

“Daya penarik ini akan membantu kami menarik orang ramai bertumpu ke bandar universiti dan menjadikannya perbandaran lebih vibrant dan progresif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman antara QSR Brands dan Sime Darby Property di Galeri Jualan Bandar Universiti Pagoh di Muar, hari ini.

Pada majlis itu, Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum disempurnakan Wan Hashimi, mewakili Sime Darby Property dan QSR Brands diwakili pengarah urusannya, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.

Turut menyaksikan, Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Property Berhad, Datuk Seri Tengku Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah; Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands (M) Holdings Berhad, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Wan Hashimi berkata, inisiatif itu adalah kerjasama pertama dijalankan bagi pembangunan kawasan berkenaan dan usaha lain yang turut dalam perancangan.

Beliau berharap ia mampu menarik lebih banyak aktiviti ekonomi bagi meningkatkan peluang pekerjaan, memacu permintaan terhadap produk kediaman dan komersialnya.

Sementara itu, Mohamed Azahari berkata, pihaknya bangga kerana dapat bekerjasama dengan syarikat besar seperti Sime Darby Property dan berharap ia mampu membantu pihaknya dalam menerokai potensi pasaran di kawasan terbabit khususnya KFC kelak.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 8:06pm
d