mutakhir

Lori bertembung, pemandu parah

Oleh Junaidi Ladjana

DUA pemandu lori parah apabila kenderaan berat dipandu mereka bertembung di Jalan Batu 60, Beaufort, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 3.30 petang sebelum sembilan anggota dan sebuah jentera bersama Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort bergegas ke lokasi kejadian.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, bomba mendapati kemalangan membabitkan dua lori 10 tan.

“Kedua-dua pemandu lori parah dan tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua pemandu berjaya dikeluarkan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Seterusnya pemeriksaan di sekitar lokasi dilakukan dan operasi tamat jam 4.26 petang,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 8:19pm
d