mutakhir

Tenaga kerja mahir dijangka meningkat 35 peratus 2020

Oleh BERNAMA

GRADUAN Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pasaran kerja akan meningkatkan jumlah tenaga mahir dalam negara kepada 35 peratus pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, Datuk Soh Thian Lai berkata, setakat ini 25 peratus tenaga kerja mahir direkodkan di Malaysia, jumlah yang masih dikategorikan sebagai rendah dan tidak mencukupi.

“Bekalan tenaga kerja mahir yang tidak cukup menyebabkan kita terpaksa bergantung kepada tenaga kerja dari negara lain, sedangkan untuk menjadi negara maju, graduan TVET perlu seiring dengan golongan profesional.

“Masyarakat juga perlu mengubah stigma memandang rendah pada graduan TVET kerana bidang itu bukan lagi pilihan kedua tetapi menyediakan masa depan cerah kepada pelajar,” katanya selepas menghadiri sesi ‘town hall’ TVET Zon Timur 2019 di Pahang Skills Development Centre (PSDC) Kuantan hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Shamsuri Abdullah.

Sementara itu Soh berkata, laporan berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Khas TVET akan dikemukakan Julai ini.

Beliau berkata, setakat ini cadangan penubuhan suruhanjaya itu menerima maklum balas positif pada sesi ‘town hall’ yang diadakan di lima lokasi termasuk di PSDC.

Sesi ‘town hall’ terakhir akan berlangsung di Kajang, Selangor pada 30 April ini.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 9:17pm
d