mutakhir

[UPDATE] Enam selamat, dua remaja masih hilang

Oleh Adnan Ibrahim

ENAM pelajar Sekolah Tahfiz Assidiq Gurfan, Simpang Renggam sempat menyelamatkan diri manakala dua lagi masih hilang.

Ia berikutan air Sungai Kampung Sahari tiba-tiba naik secara mendadak ketika kumpulan remaja itu mandi selepas tamat waktu persekolahan 6.10 petang hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, semua pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun itu dikatakan mendapat kebenaran pulang ke rumah masing-masing selepas tamat waktu pengajian 5.40 petang.

Katanya, kumpulan pelajar terbabit bagaimanapun tidak terus pulang ke rumah sebaliknya singgah di sungai untuk mandi.

“Malangnya, ketika mereka asyik mandi secara tiba-tiba arus sungai menjadi deras dan menghanyutkan dua daripada lapan orang yang berada di tengah sungai itu.

“Akibatnya Mohd Ammar Mazeni, 13, dan rakannya, Mohd Danish Mirzan Mohamad Said, 16, dihanyutkan arus deras manakala rakan lain sempat ke tebing menyelamatkan diri.

“Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta polis dengan bantuan RELA dan orang kampung,” katanya.

Mohd Abduh berkata, sehingga laporan ini dikeluarkan, kedua-dua mangsa masih belum ditemui dan kerja mencari masih diteruskan.

Berita berkaitan

2 remaja dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 11:06pm
d