mutakhir

SPAN nafi tarif air naik

Oleh BERNAMA

SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kenaikan tarif air akan melebihi RM10 hingga RM15 seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina hari ini.

Pengerusinya Charles Santiago berkata, ketika sesi wawancara dengan akhbar, beliau tidak menyebut sebarang peratusan atau harga kenaikan sebaliknya hanya berkongsikan maklumat mengenai konsultasi awam yang sedang dijalankan berhubung proses berkenaan.

“Dalam wawancara itu saya berkongsi mengenai empat isu iaitu penjimatan air, mekanisme penetapan tarif air, pengurusan air adalah tanggungjawab bersama semua pihak dan polisi pencegahan rasuah demi mengurangkan tarif air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Charles yang juga Ahli Parlimen Klang turut memperbetulkan laporan akhbar itu dengan mengatakan bahawa kali terakhir Pahang menaikkan tarif air adalah 36 tahun lalu, bukannya 38 tahun seperti dilaporkan.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang pengumuman mengenai kenaikan tarif air kerana perkara tertakluk di bawah bidang kuasa Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar.

“Hanya menteri terbabit berkuasa membuat pengumuman berkaitan tarif air selepas mendapat persetujuan kabinet dan kerajaan negeri berkaitan,” katanya.

Disiarkan pada: April 25, 2019 @ 11:19pm
d