mutakhir

Patutlah ramai terjebak!

Oleh Siti Rohana Idris

URUSAN jual beli dadah masa kini semakin mudah apabila dilakukan dengan aplikasi WhatsApp bagi menghubungkan pengedar dengan pembeli.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad berkata, fenomena itu semakin membimbangkan dan kemudahan telekomunikasi turut menyumbang kepada bilangan penagih dan penyalahgunaan dadah yang meningkat.

“Sistem telekomunikasi sekarang memudahkan cara mendapatkan dadah yang menghubungkan antara pengedar dengan pembeli dan caranya sudah tidak sama seperti dulu.

“Hanya berhubung menerusi WhatsApp, mereka boleh berjumpa sebelum ‘menyambar’ iaitu istilah yang digunakan sebagai jual beli dadah,” katanya kepada pemberita di markas operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di Tumpat, semalam.

Rohayu berkata, walaupun kaedah yang dijalankan dalam urusan jual beli dadah itu semakin licik, AADK sentiasa membuat risikan bagi mengetahui apa modus operandi dan di mana kegiatan itu selalunya dijalankan.

Menurutnya, hasil operasi yang dijalankan pihaknya mendapati ramai penagih dalam kalangan remaja yang terjerumus dalam kegiatan itu sejak di bangku sekolah rendah iaitu sekitar Tahun Empat dan Lima.

“Kami mengesan penagih dalam kalangan remaja bawah 18 tahun dan masih di bangku sekolah semakin meningkat dan situasi itu disebabkan dadah semakin mudah diperoleh.

“Ibu bapa perlu memantau penggunaan telefon bimbit anak bagi mengetahui dengan siapa mereka berhubung dan apa kegiatan yang dilakukan bagi mengelakkan trend penagihan dadah golongan remaja semakin berleluasa,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyertai rondaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di pinggir perairan Sungai Golok bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meronda di Pengkalan Kebun, Dhup Aziz dan Kampung Mentuan bagi beramah mesra dengan ahli SRS di Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Rondaan turut disertai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kelantan, Asisten Komisioner Sheikh Azhar Sheikh Omar; Pengarah JPNIN negeri Kelantan, Norwahidah Zinalibdin; Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud

dan Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, Asisten Superintendan Mohd Rudzuan Ahmad.

Sementara itu, Norwahidah berkata, rondaan rentas sempadan dibuat secara kolaborasi dengan agensi berkaitan bagi mengekang kes penagihan dan penyalahgunaan dadah membabitkan daerah bersempadan dengan negara jiran kerana mudah mendapat bahan terlarang itu.

“Perairan negara sangat penting kerana ia adalah laluan keluar masuk, maka orang ramai perlu menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat.

“Tumpat adalah antara pintu masuk negara dan di daerah ini kita ada 43 KRT yang sangat aktif, jadi kita harap penduduk yang tinggal berhampiran sempadan dapat membantu kami,” katanya.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 11:51am
d