mutakhir

Derita 30 pelajar tahfiz

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

KELAS dibina hanya beratapkan zink karat selain tinggal di pondok usang sepanjang tempoh pengajian di sebuah pusat tahfiz daif di Pulau Basilan, Filipina.

Itu antara kepayahan dilalui 30 pelajar pusat tahfiz Al Ansar selain lokasi terpencil berkenaan turut tidak dilengkapi kemudahan elektrik dan bekalan air bersih.

Kepayahan dialami mereka mendapat perhatian pertubuhan Muslim Care Malaysia yang melakukan lawatan kali pertama di lokasi itu pada Julai tahun lalu.

Presiden Muslim Care Malaysia Zulkifli Wahijan berkata, susulan itu pihaknya berjaya mengumpul dana RM10,000 sebelum disalurkan kepada pengurusan pusat tahfiz berkenaan sebagai bantuan awal.

Katanya, hasil sumbangan itu pihak pengurusan tahfiz mampu melakukan ubah suai dengan memasang jubin pada kelas selain kos perbelanjaan menguruskannya.

“Pihak Muslim Care dengan kerjasama Bank Islam sekali lagi mengunjungi pusat pengajian itu bermula Ahad lalu selepas mengambil penerbangan dari Manila ke Zamboanga, Filipina.

“Dalam lawatan kedua ini, kami menyerahkan tambahan sumbangan sebanyak RM20,000 berjaya dikutip hasil keprihatinan rakyat Malaysia dalam misi untuk membantu pusat tahfiz Al Ansar yang serba daif itu,” katanya yang turut disertai Timbalan Presiden Muslim Care, Mohd Johari Ismail, Exco Muslim Care, Safuan Ujar dan wakil Bank Islam, Abdul Ghani.

Beliau berkata, sumbangan itu boleh digunakan untuk menambah baik kemudahan kepada pelajar selain digunakan untuk perbelanjaan pengurusan.

“Pusat pengajian ini serba kekurangan berikutan kebanyakan pondok penginapan pelajar dibina dari buluh dan kayu usang.

“Malah kemudahan pembelajaran termasuk alat bantu mengajar jauh berbeza dari apa yang kita biasa lihat di pusat pendidikan agama di Malaysia.

“Terdapat 30 pelajar di pusat itu dan keperluan paling mendesak adalah untuk membina dua asrama bagi pelajar terbabit,” katanya yang mengetuai misi bantuan itu.

Zulkifli berkata, jumlah sasaran RM30,000 lagi diperlukan pihaknya bagi membolehkan penuntut pusat tahfiz dan tiga tenaga pengajar di situ menjalankan kehidupan dan pengajian dalam keadaan selesa.

Menurutnya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Muslim Care Malaysia 564490413882, Bank Islam 14014010147470 dan Bank Muamalat 14010007654717.

Untuk pertanyaan boleh menghubungi Safuan di talian 013 4886447 atau hotline 011 50050035.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 12:22pm
d