mutakhir

Tragedi ke kedai beli makanan

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

TIGA sekeluarga yang dalam perjalanan membeli makanan maut apabila motosikal dinaiki mereka kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Sungai Bagan, Rengit, Batu Pahat semalam.

Dalam kemalangan 11.30 malam itu, tiga sekeluarga yang menunggang Honda EX5 menghala ke arah Pontian dari Batu Pahat dirempuh Perodua Kenari dari arah sama.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan bergerak dari arah sama sebelum kereta berkenaan hilang kawalan.

“Apabila tiba di lokasi yang menurun bukit, tiba-tiba kereta itu hilang kawalan ke sebelah kiri jalan dan merempuh motosikal. “Kejadian itu menyebabkan penunggang dan dua pembonceng motosikal maut akibat rempuhan itu,” katanya.

Beliau berkata, menurut waris ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan ke kedai untuk membeli makanan.

“Penunggang motosikal adalah ibu kepada mangsa berusia tujuh tahun manakala seorang lagi mangsa berusia 14 tahun adalah adik kepada penunggang motosikal berkenaan,” katanya.

Menurut Azhan, pemandu kereta ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, di laman sosial Facebook (FB) BMX Racing Malaysia dikongsikan kemalangan yang meragut nyawa tiga sekeluarga yang mana seorang daripadanya dikenali sebagai Muhammad Haqil Abu Bakar, 14.

“Mohon sedekah Al-Fatihah buat Muhammad Haqil Abu Bakar, ‘rider team’ Rengit BMX Racing yang kembali ke rahmatullah 12 lebih tadi (tengah malam) akibat kemalangan jalan raya.

“Dan juga dua ahli keluarganya yang turut meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Difahamkan ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Bagaimanapun Harian Metro gagal mendapatkan komen keluarga.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 5:18pm
d