mutakhir

Hidup dalam ketakutan

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

PENGHUNI Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur hidup dalam kebimbangan berikutan keretakan pada struktur kediaman mereka yang semakin teruk.

Keretakan di beberapa bahagian dinding serta lantai terutama di bahagian koridor agak teruk sehingga boleh dilihat dari luar ke bahagian dalam rumah.

Penduduk, Hashim Hamdan, 44, berkata, keretakan kecil sudah berlaku pada beberapa bahagian dinding pangsapuri itu sejak beberapa tahun lalu namun kini ia semakin teruk.

Katanya, keretakan terbaru dikesan pagi tadi dan dipercayai berpunca akibat hujan menyebabkan struktur tanah di kawasan itu berkemungkinan mendap.

“Sebenarnya kesan retak ini sudah lama sejak beberapa tahun lalu namun ia tidak tembus sebaliknya hanya nampak pada permukaan dinding serta lantai saja.

“Namun keretakan itu semakin besar menyebabkan ahli keluarga saya tidak berani duduk di sini dan berpindah ke kampung,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hashim berkata, dia serta penghuni di situ bimbang berikutan hujan yang berterusan berkemungkinan menyebabkan tanah kawasan pangsapuri di situ mendap sehingga kerosakan semakin teruk.

Sementara itu, penghuni lain, Khawari Manaf, 53, berharap pihak berkaitan membuat penilaian mengenai aspek keselamatan di pangsapuri itu.

Katanya, buat masa ini mereka tidak diberikan sebarang arahan daripada pihak berkuasa untuk mengosongkan rumah serta tahap keselamatan di pangsapuri berkenaan.

“Kami berharap penilaian mengenai aspek keselamatan di pangsapuri dapat dibuat segera kerana khuatir keselamatan kami.

“Lebih awal penilaian dibuat, lebih cepat kami dapat membuat persediaan termasuk berpindah ke penempatan sementara serta mengemas barang diperlukan,” katanya.

Sementara itu jurucakap Bahagian Pengurusan Bencana Selangor berkata, pihaknya masih belum membuat penilaian terhadap kerosakan serta aspek keselamatan di pangsapuri itu dan akan mengumumkannya selepas berbincang bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi lain termasuk bomba.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 10:30pm
d