mutakhir

Rezeki bulan mulia

Oleh Idris Musa

SEMPENA ketibaan Ramadan, 394 jemaah asnaf terpilih menyertai Program Umrah Jelajah Kasih dari 27 April ini hingga 8 Mei depan.

Program anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) bersama Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd itu membabitkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mualaf dan Orang Asli dari seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, beliau mengalu-alukan program selama 12 hari berbentuk kebajikan itu kerana memberi peluang kepada asnaf yang mungkin tidak mendapat peluang untuk ke Makkah dan Madinah.

“Saya anggap program ini begitu baik dan insya-Allah perlu diteruskan dan kalau boleh diteruskan juga oleh banyak syarikat supaya dapat membawa asnaf ini untuk menunaikan umrah dan kalau boleh haji,” katanya ditemui selepas merasmikan program itu di Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha MoTAC Datuk Isham Ishak, Pengerusi Andalusia Travel & Tours Datuk Daud Che Ngah serta Pengarah dan Penasihat Undang-Undang syarikat itu Ida Riswana Idris.

Program itu turut mendapat kerjasama beberapa kementerian dan jabatan malah Malaysia Airlines Berhad (MAS) yang turut menaja sarapan pagi kepada jemaah dan petugas sebelum ke Tanah Suci serta menyumbang 47 tiket penerbangan pergi dan balik jemaah dari Sabah, Sarawak dan Labuan.

Dalam pada itu, Muhammad Bakhtiar menasihatkan orang ramai berhati-hati apabila memilih pakej umrah supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

“Kita memang dari semasa ke semasa menjalankan penguatkuasaan. Kita ada 27 pegawai yang ditugaskan dalam bidang penguatkuasaan.

“Saya nasihatkan kepada orang ramai berhati-hati apabila memilih pakej umrah. Kalau ada yang kata umrah cuma RM2,000 saja memang tak betullah. Tidak ada umrah yang harga RM1,000 atau RM2,000 dan kalau ada sebegitu boleh buat laporan segera kepada kita.

“Insya-Allah kita akan mengambil tindakan mana-mana agensi yang melakukan penipuan. Umrah satu ibadat, saya cukup sedih ada agensi yang menangguk di air keruh, mereka menipu jemaah,” katanya.

Sementara itu, Ida Riswana berharap program itu diteruskan untuk membawa seramai mungkin ke sana.

“Matlamat kepada mereka yang tak pernah pergi, tidak ada kemampuan dan langsung tidak ada daya hingga akhir hayat besar kemungkinan tak boleh pergi,” katanya sambil berkata program itu adalah kali ketiga bagi pihaknya sejak 2016.

Jemaah termuda, Muhammad Shahrizan Sabidin, 18, yang mendapat 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, dia berterima kasih kerana turut terpilih menunaikan umrah dalam program itu.

“Saya sangat gembira. Tak sangka dapat pergi ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat dan menziarahi makam Rasulullah SAW.

“Saya mahu lihat Kaabah. Di sana suasananya sangat tenang,” kata anak yatim berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd Yatim, Rembau.

Disiarkan pada: April 26, 2019 @ 11:17pm
d