mutakhir

'Ini bukan demokrasi'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

PERTUBUHAN Peladang Negeri (PPN) Perak meminta kerajaan membatal atau menangguhkan sementara Warta Kerajaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang (Pindaan) 2019 yang berkuat kuasa 1 Mei ini.

Ia susulan pindaan peraturan terbabit dilihat dibuat secara tergesa-gesa tanpa perbincangan menyeluruh dengan semua pihak termasuk PPN dan tidak melambangkan demokrasi.

Pengerusi PPN Perak, Datuk Nadzri Ismail berkata, pihaknya terkejut apabila mendapat tahu pindaan baru itu akan dikuatkuasakan bermula 1 Mei ini yang membabitkan peraturan pemilihan pucuk pimpinan Pertubuhan Peladang.

Menurutnya, pindaan terbaru yang dibuat membabitkan pemilihan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pengarah PPN dan Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

“Mengikut peraturan baru, Pengarah PPK perlu terdiri daripada tujuh ahli yang dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan lima lagi dilantik Menteri, manakala Pengerusi pula dipilih melalui undi majoriti.

“Pengarah PPN perlu terdiri daripada empat ahli dipilih dalam AGM dan lima dilantik Menteri serta Pengerusi pula perlu daripada kalangan yang diluluskan Menteri.

“Bagi NAFAS pula lima ahli dipilih dalam AGM dan enam lagi dilantik Menteri, manakala Pengerusinya juga daripada kalangan mereka yang diluluskan oleh Menteri,” katanya pada sidang media, semalam.

Nadzri berkata, pindaan itu seperti langkah kebelakang jika dibandingkan dengan peraturan sebelum ini (Arahan Pendaftar Bil 1/2016) yang mana pemilihan dibuat dalam AGM bagi PPK (11 ahli) dan PPN (13 ahli), manakala NAFAS pula 11 orang dilantik dalam AGM dan enam dipilih Menteri.

“Pelantikan jawatankuasa Unit, AJP PPK, PPN dan NAFAS perlu dipilih berdasarkan sistem pemilihan secara demokrasi yang diamalkan Pertubuhan Peladang selama ini,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 6:30am
d