mutakhir

Penduduk disaran usaha sarang tantadan

Oleh Recqueal Raimi

PENDUDUK luar bandar di kawasan Tamparuli dan Kiulu digalakkan mengusahakan sarang lebah kelulut atau lebih dikenali tantadan dalam kalangan masyarakat Dusun untuk dijadikan sumber perubatan sekali gus menjana pendapatan sampingan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, kebanyakan lokasi kediaman penduduk di kawasan berkenaan yang redup sesuai untuk pemuliharaan sarang madu tantadan.

“Langkah itu bukan sahaja membantu menambah pendapatan atau menjadi sumber makanan berkhasiat buat keluarga malah secara tidak langsung turut membantu mewujudkan persekitaran kediaman lebih kondusif.

“Selain itu, sumber itu membolehkan individu atau syarikat peniaga menghasilkan pelbagai produk seperti sabun atau perubatan sekali gus menjana ekonomi,” katanya.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Tuaran berkata demikian ketika merasmikan Kursus Asas Industri Tantadan yang diadakan di Tuaran, semalam.

Kursus anjuran Sedcovest Holding Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Usahawan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tuaran selama tiga hari yang berakhir semalam disertai 90 peserta.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, pengusaha sarang lebah kini tidak perlu risau apabila teknologi salutan nano yang disediakan sejak tahun 2017 lalu memudahkan kerja pengusaha yang berupaya menghalang pertumbuhan bakteria sekali gus memberi lebih banyak masa dan tenaga untuk lebah menghasilkan madu berkualiti.

Terdahulu, Timbalan Pengurus Besar Sedcovest Holding Sdn Bhd, Valeria Pillin berkata, menternak lebah tantadan adalah antara usaha yang mempunyai potensi untuk berkembang dan dimajukan.

“Selain khasiat madu tantadan yang dikenal pasti sebagai antioksidan, ia juga digunakan untuk perubatan atau menghasilkan makanan.

“Atas sebab itu, kami menganjurkan kursus untuk membantu peserta melengkapkan diri dengan ilmudari peringkat awal sehingga proses pembuatan dan pemasaran supaya madu yang dihasilkan bermutu serta berkualiti untuk pengguna,” katanya.

Menurutnya, harga pasaran madu tantadan kini dianggarkan pada RM80 sehingga RM100 bagi kapasiti seliter bergantung pada kualiti.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 11:10am
d