mutakhir

Menangis tengok rumah rosak

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“HANYA sekejap hujan lebat yang disertai angin kencang serta guruh, habis bumbung rumah kami diterbangkan angin.

“Dalam suasana panik, bekalan elektrik pula terputus menyebabkan rumah kami gelap,” kata Che Pora Said, 52.

Dalam kejadian 11 malam tadi, 14 rumah di Kampung Permatang Cengal dan Kampung Titi Raga, dekat Yan, rosak apabila bumbung rumah mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut.

Daripada jumlah itu, sembilan daripada rumah berkenaan rosak teruk akibat kejadian itu.

Menurut Pora, ketika kejadian, dia dan suaminya, Ab Rashid Mansor, 53, berada dalam rumah, manakala anak perempuan mereka, Norlela Auni Ab Rashid, 25, di bilik air.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas malah dia risau apabila terdengar bunyi deruan ombak kuat ditiup angin kerana jarak rumahnya dengan Pantai Murni tidak jauh.

“Dulu kawasan ini pernah berlaku kejadian tsunami dan saya dah tak sedap hati kerana bimbang kejadian sama berulang.

“Saya dan anak hanya mampu menangis mengenangkan keadaan rumah yang rosak apatah lagi bulan puasa dan hari raya makin hampir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Che Pora berkata, dia kemudian pergi ke rumah birasnya di sebelah rumahnya dan mendapati bumbung rumah itu juga diterbangkan angin.

Katanya, bumbung berterbangan masuk ke dalam sungai, sawah dan ada yang diterbangkan jauh dari kawasan itu.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, seramai 20 anggotanya terbabit untuk membantu mangsa untuk membersihkan kesan ribut di kawasan itu hari ini.

Beliau berkata, pusat pemindahan dijangka akan dibuka di Dewan Dato Madi, dekat sini disebabkan kebanyakan rumah penduduk rosak teruk.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 1:16pm
d