mutakhir

Belum diputuskan selamat atau tak [METROTV]

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TAHAP keretakan bangunan empat tingkat Blok F di Pangsapuri Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur masih memerlukan pemeriksaan lanjut sebelum tahap keselamatan bangunan itu dapat diputuskan.

Perkara itu disahkan tiga agensi iaitu Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Bahagian Struktur Bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika melakukan pemeriksaan di bangunan itu tengah malam tadi.

Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof berkata, susulan itu pasukan forensik JKR dan perunding PKNS bersama arkitek Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) mula melakukan ujian sejak pagi tadi sebelum memutuskan tahap keselamatan bangunan itu.

“Pasukan berkenaan sudah memasang alat pengesan dan peralatan untuk memeriksa mendapan tanah, pergerakan bangunan dan lain-lain elemen.

“Pemeriksaan ini dijangka mengambil masa tiga hari sebelum keputusan dibuat dan bagi memastikan setiap maklumat konsisten sama ada masih selamat di duduki atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat di Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad Fairuz berkata, setakat ini, sembilan keluarga membabitkan 38 individu sudah berpindah ke pusat pemindahan sementara.

“Kita sudah arahkan pengosongan bangunan berkenaan pada malam tadi dan ada antara penghuni tinggal bersama saudara mereka di kawasan lain.

“Kami menjangkakan akan lebih ramai penghuni bangunan berkenaan mendaftar untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara,” katanya.

Semalam, seramai 222 penghuni bangunan empat tingkat Blok F di Flat Taman Keramat Permai di sini diarahkan berpindah susulan keretakan di dinding bangunan berkenaan selepas hujan lebat.

MPAJ mengesyorkan semua penghuni blok mengosongkan bangunan dan pihak polis akan menguatkuasakan kawalan keselamatan supaya tiada penduduk berada di blok berkenaan memandangkan keretakan masih aktif.

Pemantauan akan diteruskan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Berita berkaitan:

  • Hidup dalam ketakutan
  • Mula pemeriksaan lanjut
  • Retak sampai nampak rumah bawah
  • Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 3:28pm
    d