mutakhir

Kelahiran bayi bongkar rahsia

Oleh Melvin Joni

PERBUATAN tiga lelaki merogol gadis orang kurang upaya (OKU) di Padawan, terbongkar selepas mangsa melahirkan bayi di Hospital Umum Sarawak (HUS), Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah (IPD) Padawan, Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, sebaik melahirkan bayi berkenaan, mangsa berusia lingkungan 20-an yang mengalami masalah pendengaran dan bisu sejak kecil itu mendakwa dirogol ketiga-tiga suspek yang dikenalinya kerana mereka tinggal sekampung.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis mengesan dua suspek yang berusia antara 48 dan 50 tahun itu dan menahan mereka di Padawan, kira-kira 11 pagi semalam.

Bagaimanapun, Merbin berkata, pihaknya masih menjejaki seorang lagi suspek.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Merbin berkata mangsa kini masih ditempatkan di HUS untuk pemantauan doktor selepas dia melahirkan bayi pra matang berusia lapan bulan.

Bagaimanapun, tiada keterangan lanjut diambil daripada mangsa kerana dia sukar menjawab soalan yang diajukan kepadanya.

Justeru, polis akan mendapatkan khidmat juru bahasa bertauliah bagi membantu merakam keterangan daripada mangsa.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebat.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 4:56pm
d