mutakhir

Penagih dadah seawal darjah satu

Oleh Nur Izzati Mohamad

KEGIATAN penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat dikesan berlaku seawal usia tujuh tahun.

Statistik pada 2015 hingga 2017 menunjukkan kira-kira 2,169 pelajar dari peringkat rendah hingga ke universiti terjebak dengan gejala tidak sihat ini.

Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, statistik terkini pula menunjukkan 74 peratus penagih baharu datang dari golongan berusia 19 hingga 39 tahun.

“Pada setiap hari kira-kira 70 penagih dadah baharu direkodkan dan angka ini amat membimbangkan apabila dadah kini menjadi pilihan utama masyarakat.

“Apatah lagi, ada sindiket penjualan dalam talian yang menyasarkan golongan remaja terdiri daripada pelajar sekolah apabila mereka kononnya menjual gula-gula berperisa namun ia sebenarnya dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Tinggi Bukit Mertajam, hari ini.

Jelasnya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak mereka terjebak dalam kegiatan berkenaan.

“Ini kerana kita dapati punca utama penyalahgunaan dadah dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berlaku atas faktor kekurangan masa ibu bapa bersama anak-anak selain tidak mengambil tahu dengan siapa anak mereka berkawan.

“Oleh itu, dalam tempoh seminggu sekurang-kurangnya perlu ada sekali waktu perlu diluangkan ibu bapa untuk anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu, Akhbar yang juga bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) mendedahkan tangkapan membabitkan kes rasuah juga banyak terdiri daripada golongan muda.

“Statistik pada 2013 hingga 2018 menunjukkan 55.2 peratus golongan berusia 20 hingga 39 tahun ditahan atas kesalahan salah laku rasuah.

“Ia berikutan golongan ini cepat terpengaruh apabila mengikut cara golongan atasan dan mahu cepat hidup mewah serta terbabit dengan kegiatan judi dan alkohol,” katanya.

Katanya, Malaysia kini berdepan dengan krisis integriti dan perlu mencari faktor utama masalah itu berlaku dalam mencari penyelesaian terbaik.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 6:36pm
d