mutakhir

Pemandu lori tangki maut kemalangan

Oleh Ahmad Ismail

PEMANDU lori tangki maut selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 168, Jalan Johor Bahru-Seremban, berhampiran Kampung Tenang, Segamat, hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa, Khairul Azhar Mohamed, 33, disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Raub Selamat berkata, berdasarkan siasatan awal, lori tangki dari arah Johor Bahru menghala ke Seremban itu dipercayai hilang kawalan.

Katanya, ia kemudian terbabas ke laluan bertentangan dan menyebabkan kedua-dua kenderaan berat berkenaan bertembung.

“Akibat rempuhan itu, pemandu lori tangki mengalami parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Segamat,” katanya.

Menurutnya, pemandu treler berusia 63 tahun turut mengalami kecederaan di muka dan dihantar ke Hospital Segamat untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, ketika kejadian, permukaan kedua-dua lorong kering dan cuaca baik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Segamat untuk bedah siasat.

“Berikutan itu, kami memohon saksi kejadian menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat di nombor 07-9324222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 6:40pm
d