mutakhir

Terima kebaikan perubatan alternatif

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Izzah Hazirah Hamsidin

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) berharap doktor bertauliah lebih terbuka bagi menerima kaedah perubatan tradisional dan komplementari di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perubatan Berasaskan Bukti MMA, Dr Anil Kumar berkata, biarpun doktor bertauliah tidak dibenar mempraktikkan kaedah berkenaan namun kebaikan perubatan alternatif perlu diterima.

“Sebelum ada doktor, semuanya bermula dengan perubatan alternatif seperti akupuntur, urutan dan lain-lain. Golongan ini dikenali sebagai bomoh, ‘sensei’ dan bidan yang merawat pesakit pada zaman itu.

“Jadi, kebaikannya tidak boleh ditolak sebegitu sahaja. Kita di MMA mengadakan seminar ini bertujuan membuka minda semua doktor bagi menerimanya,” katanya pada sidang media selepas seminar bertajuk Perubatan Intergratif-Adakah Relevan di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mengiktiraf golongan ini dengan mewujudkan Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari.

“Kira-kira 15,000 hingga 20,000 pengamal perubatan alternatif berdaftar dengan KKM. Malah, 15 hospital seluruh negara kini mempunyai Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari. Ini membuktikan kerajaan mengiktiraf mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Anil berkata, terdapat lapan universiti tempatan juga menawarkan kursus

perubatan tradisional dan komplementari.

“Kita di MMA gelar mereka yang menamatkan pengajian itu sebagai ‘pengamal’. Mereka tidak akan menjadi doktor dengan hanya menamatkan pengajian dalam bidang berkenaan,” katanya.

Katanya, usaha KKM mengiktiraf pengamal perubatan alternatif sudah tentu dilakukan selepas kajian mendalam.

“Pada masa sama, kementerian juga boleh memantau golongan ini daripada anasir penipuan. Jadi, diharap doktor juga dapat menerima kebaikan kaedah rawatan alternatif ini,” katanya.

Anil berkata, dia berharap doktor di Malaysia cuba mendapatkan maklum balas daripada pesakit mengenai pengalaman mereka menjalani rawatan alternatif.

“Apa sahaja kaedah digunakan yang dapat memberikan kebaikan kepada pesakit perlu diterima (doktor) biarpun pengamal perubatan alternatif sukar membuktikannya dalam bentuk saintifik.

“Kita tahu, kajian saintifik mempunyai modul ketat selain menetapkan jumlah pesakit yang lebih ramai ketika melakukannya yang diketahui menelan belanja ratusan juta ringgit,” katanya.

Tambahnya, kira-kira 25 peratus penduduk Malaysia menggunakan kaedah perubatan tradisional dan komplementari.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 7:24pm
d