mutakhir

Peluncur udara maut

Oleh Nurul Fatihah Sulaini

PELUNCUR udara maut selepas dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Keluang berdekatan Bukit Bubus dan Bukit Keluang, di Besut, hari ini.

Kejadian dipercayai kira-kira 4 petang apabila mangsa, Ab Haziz Muhamood, 61, berasal dari Kuala Lumpur dikatakan terjatuh di muara sungai itu ketika mahu melakukan pendaratan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum kejadian mangsa melakukan penerbangan luncur udara dari puncak Bukit Bubus tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Selepas beberapa minit berada di udara mangsa dipercayai ingin mendarat namun tersasar dan terjatuh ke dalam sungai sebelum lemas.

“Kejadian disedari rakan peluncur yang lain dan dengan bantuan beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian mangsa segera dibawa naik ke tebing menggunakan bot,” katanya.

Zamri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang memeriksa mangsa ketika berada di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Besut untuk bedah siasat,” katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2019 @ 11:08pm
d